Home Sukan OPERATOR FASILITI SUKAN DISARAN PASANG AED, BANTUAN AWAL KES SERANGAN JANTUNG

OPERATOR FASILITI SUKAN DISARAN PASANG AED, BANTUAN AWAL KES SERANGAN JANTUNG

328
0

KUALA LUMPUR: Operator fasiliti sukan di seluruh negara disarankan agar memasang peranti defibrilator luaran automatik (AED) di fasiliti masing-masing bagi memberi bantuan segera kepada individu terkena serangan jantung ketika bersukan.

Memetik laporan menerusi Harian Metro saranan itu dinyatakan Pengurus Medica Syifa Technology Sdn Bhd, Afifah Baharin susulan tragedi hitam menimpa bekas penjaga gol Pulau Pinang, Allahyarham Firos Mohamed yang meninggal dunia selepas rebah akibat serangan jantung ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu lalu.

Menurutnya, kes membabitkan Firos mungkin boleh dielakkan selepas ini dengan setiap fasiliti sukan termasuk stadium menyediakan AED di persekitaran agar bantuan asas hayat atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) dapat diberikan dengan kadar segera.

Katanya, sebarang bantuan awal adalah penting kerana peluang untuk pesakit kembali bernyawa menjadi sangat tipis sekiranya 10 minit berlalu tanpa sebarang bantuan hayat asas.

Ujarnya, ini adalah kerana organ kritikal seperti otak akan rosak dan mati.

“Secara umumnya, pesakit akan mengalami gejala atau tanda seperti sakit dada, sesak nafas, berpeluh-peluh dan berasa nak pitam.

“Sebilangan pesakit boleh berhadapan situasi jantung yang tiba-tiba berhenti berdegup yang dipanggil ‘sudden cardiac arrest’.

“Dalam keadaan sedemikian, pesakit akan tidak sedarkan diri, tidak bernafas dan tiada nadi.

“Ketika saat genting ini, terdapat dua rawatan utama yang terbukti boleh menyelamatkan nyawa seseorang iaitu ‘early defibrillation’ (defibrilasi awal) dan ‘early CPR’.

“Jadi, peranti AED hendaklah ditempatkan di fasiliti atau kawasan ramai orang dan fasiliti bilangan orang yang berisiko adalah ketara.

“Namun begitu, penyakit ini tidak mengenal usia lantaran pemerhatian menemukan kes kematian akibat sakit jantung turut menyerang golongan muda,” katanya kepada Arena Metro.

Antara pemain bola sepak ternama dunia yang terselamat selepas mendapat bantuan awal adalah tonggak kebangsaan Denmark, Christian Eriksen yang rebah secara tiba-tiba ketika aksi Piala Eropah 2021 lalu.

Bekas pemain Manchester United itu berjaya diselamatkan dan kembali beraksi di tahap tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Afifah, pihaknya berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang ini dan kini sedang giat memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan AED selain memenuhi jemputan menganjurkan latihan dan demonstrasi CPR di syarikat swasta mahupun kerajaan.

“Kami sudah pasang hampir 500 AED di seluruh negara termasuk di masjid, tempat sukan, bangunan pejabat dan perubahan serta hospital.

“Pihak di luar boleh layari laman web kami www.medicasyifa.com untuk mendapatkan sebarang info.

“Mungkin lebih banyak operator sukan perlu ada dan memasang peralatan ini agar kejadian tidak diingini itu dapat dielakkan di masa hadapan,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here