KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 66, lega apabila anak lembu ‘istimewa’ miliknya yang berkaki lima, terus hidup selepas lima hari dilahirkan.
Memetik laporan menerusi Berita Harian Jamal menamakan anak lembu jantan itu sebagai ‘Mr Ong’ (Tuah) berkata, dia baru berpeluang balik ke Bukit Merah, Perak, Isnin lalu dan melawat ‘Mr Ong’.
“Saya balik untuk tengok Mr Ong, selain ada kerja lain sikit hendak buat. Ramai juga kawan-kawan rapat datang tengok sebab anak lembu ini pelik sikit.
“Turut sama datang adalah pegawai veterinar yang hendak tengok kesihatan anak lembu ini sama ada okay atau tidak.
“Mereka bagi bantuan dari segi pemantauan, macam mana kalau lembu itu sakit dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.
Jamal berkata, beliau diberitahu, kebiasaannya jika ibu lembu itu muda, haiwan itu tidak pandai untuk menyusu anak.
“Kes begini biasanya umur anak lembu tak panjang. Tapi kami usahakan juga untuk ‘Mr Ong’. Saya suruh pekerja saya perah susu, masukkan dalam botol dan suapkan.
“Ini kerana susu ibu untuk tiga hari pertama sangat penting untuk pembesaran dan kekuatan badan. Kalau bagi susu yang ada di kedai, memang ada khas untuk binatang, tetapi, ia tiada apa yang ada pada susu ibu.
“Jadi macam manapun saya paksa pekerja untuk pastikan jangan sampai dia mati. Mesti perah susu dan bagi dia minum,” katanya.
Jamal gembira usaha itu membuahkan hasil apabila pekerjanya yang memerah susu pada hari pertama.
“Hari kedua dan seterusnya Mr Ong sudah pandai menyusu sendiri. Alhamdulillah… Ini sangat penting untuk anak-anak lembu,” katanya yang turut membawa dua anaknya melihat anak lembu unik ini.
Sabtu lalu, Jamal dilapor beroleh ‘cucu’ istimewa, iaitu anak lembu jantan berkaki lima.
Jamal tidak akan menjual ‘Mr Ong;m sebaliknya, terus memelihara haiwan itu hingga ia mati. Anak lembu unik itu daripada jenis lembu penternakan secara integrasi yang dipeliharanya di kandang. – BH Online –
IMedikel TV






