Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Program Sambar Menang: Bbeli dan Sedekoh Pasar Siti Khadijah anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) berlangsung cukup meriah, di sini, hari ini.
Program tersebut disertai 15 pasukan pelbagai agensi media di Kelantan dengan setiap pasukan terdiri daripada dua peserta.
Kru IMedikel TV diwakili Nik Nur Zakia Abdullah dan Izzatul Azma Sanusi dan pertama kali menyertai program sedemikian.
“Terima kasih kepada BIMB kerana memberi peluang kepada kami untuk menyertai program ini. Dengan adanya program seperti ini, kami dapat mengeratkan lagi hubungan di antara media Kelantan dan juga pihak BIMB,”katanya.
Menurut Nik Nur Zakia, pihak BIMB memberikan sebanyak RM500 setiap pasukan dan perlu membuat pembelian di kedai yang terpilih dengan melalui empat check point.
“Kami diberi masa selama 1 jam 30 minit untuk membuat pembelian barangan yang diberikan. Namun yang menariknya kita perlu membeli barang keperluan dengan menjawab semua teka teki yang diberikan yang diperolehi di setiap check point.
“Melalui teka teki itu kita dapat mengenal pasti barang keperluan yang perlu kita beli mengikut bajet yang sudah diberikan dan mesti membayar secara mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar,”katanya.
Katanya antara barangan keperluan yang perlu dibeli adalah susu, bawang merah, bawang putih, minyak masak, sardin, pencuci pinggan, sabun basuh dan beberapa lagi keperluan lain.


Barang keperluan yang dibeli akan disumbangkan kepada dua rumah anak yatim di Kota Bharu iaitu Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim (YAATIM) Kelantan dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (PEKAYATIM).
Pemenang tempat pertama dimenangi pasukan media Berita Harian dan Harian Metro dengan membawa pulang wang tunai RM2,000.
IMedikel TV






