Home Buletin Semasa PASANGAN SUAMI ISTERI PENGUSAHA SALUN, KEDAI MAKAN DIDAKWA EDAR 20KG PIL KUDA

PASANGAN SUAMI ISTERI PENGUSAHA SALUN, KEDAI MAKAN DIDAKWA EDAR 20KG PIL KUDA

469
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Seorang pengusaha salun dan kedai makan bersama suami serta tiga ahli keluarganya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan di sini pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh iaitu Mohd Faizal Ismail, 35, isterinya, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, bersama Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 115 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong simpang tiga Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha di sini pada jam 11.15 pagi, 27 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112 gram di sebuah rumah di kampung sama pada jam 11.30 pagi, hari yang sama.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 19,866 gram di kawasan ladang lembu di belakang sebuah rumah di kampung sama pada jam 4.30 petang, hari yang sama.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala hanya Mohd Faizal Ismail dan Nur Ayu Fatihah Zaudi diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, kelima-lima mereka tiba di Mahkamah Majistret Pasir Mas pada jam 9.10 pagi, hari ini.

Sebaik tertuduh tiba di perkarangan mahkamah menaiki trak polis didapati ahli keluarga tertuduh menunggu ketibaan mereka.

Suasana bertukar hiba apabila ahli keluarga tertuduh menangis dan menjerit memanggil nama tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, taktik licik pasangan suami isteri terbabit didakwa menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan di Pasir Mas dan Tumpat, 27 Jun lalu.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 35.4 kg dengan nilai RM5.04 juta dan dipercayai untuk dijual kepada golongan pelajar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here