Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Sebanyak 8,586 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara disarankan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat sempena Jubli Emas Rukun Tertangga 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud, berkata sejak tahun 1975 terdapat 16 KRT yang sudah mencapai usia 50 tahun termasuk satu di Kelantan.

”Kita melihat bahawa KRT ini masih kekal relevan, sebab itu pada tahun ini tahun keemasan KRT dan kita akan sambut di seluruh negara bersempena Jubli Emas tampak lebih meriah.
”Sehingga di kemuncak sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat Kebangsaan pada 29 Ogos iaitu tarikh keramat KRT yang pertama dilancarkan Almarhum Tun Abdul Razak pada 29 Ogos 1975 di KRT Kasipillay di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pertandingan Akhir Gilap Bakat Belia Dikir Barat Perpaduan Sempena Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Perpaduan Machang, malam tadi.
Katanya 16 KRT tersebut membuktikan keberkesanan dan ketahanan institusi perpaduan di peringkat akar umbi.
”Kebanyakan 16 KRT tersebut adalah masih aktif. Semua KRT mendapat dana daripada kerajaan sebanyak RM6,000 untuk pentadbiran dan pengurusan,”katanya.
Bagaimanapun menurut beliau daripada jumlah KRT di seluruh negara hanya 10 peratus sahaja KRT tidak aktif.
”Namun terdapat juga KRT yang tidak aktif. JPNIN kini sedang melaksanakan pendekatan pemulihan, termasuk kaunseling dan bimbingan agar KRT terlibat kembali berfungsi secara efektif.
“Sekiranya masih tidak aktif pihak kami tidak akan salurkan lagi peruntukan kepada mereka,” katanya.
Menurut beliau melalui peruntukan yang diberikan KRT tersebut perlu melaksanakan lapan aktiviti setahun untuk kekal aktif.
Tambahnya beliau turut menggalakkan KRT untuk memohon dana tambahan melalui projek bersifat ekonomi seperti pertanian, penghasilan produk makanan dan lain-lain inisiatif keusahawanan komuniti.
Hadir sama Timbalan Presiden IMedikel Pharma Holding Berhad, Hasnah Zakaria sebagai penaja bagi Pertandingan Akhir Gilap Bakat Belia Dikir Barat Perpaduan.
IMedikel TV






