Home Buletin Semasa OPERASI BERSEPADU JIM-MPKB: 16 WARGA ASING DITAHAN DALAM SERBUAN DI KOTA BHARU

OPERASI BERSEPADU JIM-MPKB: 16 WARGA ASING DITAHAN DALAM SERBUAN DI KOTA BHARU

43
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 16 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di beberapa premis perniagaan sekitar Kota Bharu, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM Negeri Kelantan, operasi bermula jam 10 pagi itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara JIM Negeri Kelantan dan MPKB bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran dan penggajian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Operasi berkenaan membabitkan 18 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan dengan kerjasama sembilan pegawai MPKB.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 57 individu telah diperiksa dan hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 16 warga asing yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia, lima warga Thailand, seorang warga India dan tiga warga Pakistan,”menurut kenyataan itu.

Kesemua yang ditahan membabitkan 11 lelaki dan lima perempuan berusia antara 28 hingga 45 tahun.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan kerana disyaki dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”jelas kenyataan itu.

JIM Negeri Kelantan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi mengesan, menahan dan mengambil tindakan tegas terhadap PATI, majikan serta mana-mana individu yang melindungi, menggaji atau memudah cara warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Turut hadir memantau pelaksanaan operasi ialah Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) JIM Negeri Kelantan, Ruzaana Mohamed.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here