DALLAS: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente meminta Lamine Yamal melupakan sambutan ulang tahunnya dan tidak berasa gementar, sambil berkata detik paling gemilang pemain remaja itu di Piala Dunia mungkin hadir ketika menentang Perancis pada aksi separuh akhir, awal pagi esok atau di pentas lebih besar.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Yamal menyambut ulang tahun ke-19 sehari sebelum pertemuan di Dallas dan De la Fuente yang menekankan kepentingan menikmati permainan berbanding dibelenggu tekanan, berkata penyerang itu perlu menikmati detik berkenaan, bukannya memikul beban.
“Saya sudah beritahunya bahawa tidak perlu bimbang, biarkan dia menikmati permainan. Saya yakin hari terbaik Lamine di Piala Dunia masih belum tiba. Saya harap ia berlaku esok dan jika tidak, pada perlawanan akhir, jika kami berjaya mara,” kata De la Fuente.
Yamal mula menemui rentak permainannya secara beransur-ansur selepas memasuki Piala Dunia ketika masih dibelenggu kecederaan hamstring yang dialami selepas menyempurnakan sepakan penalti buat Barcelona pada penghujung April lalu.
Setakat ini, dia sudah menjaringkan satu gol dan masih belum mencipta sebarang bantuan gol sepanjang kejohanan.
Sepanyol menewaskan Perancis 5-4 pada separuh akhir Liga Negara-Negara tahun lalu, namun De la Fuente berkata, pertemuan semula kali ini akan menjadi cabaran yang berbeza, terutama selepas pasukannya hampir mensia-siakan kelebihan 5-1 dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan itu.
“Kami belajar banyak daripada perlawanan seperti itu dan mereka juga pasti memperoleh pengajaran yang sama,” katanya.
“Kami akan cuba mengulangi situasi yang memberi kelebihan kepada kami dan mengelak keadaan yang tidak memihak kepada kami.”
Pengurus Sepanyol itu menggambarkan pertembungan berkenaan sebagai pertembungan ‘gaya berlawanan’ dan berkata, pasukannya perlu berwaspada terhadap serangan balas Perancis yang amat berbahaya.
Ditanya bagaimana Sepanyol mahu menghentikan penyerang seperti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise, De la Fuente berkata pasukannya sudah membuat persiapan rapi.
“Kami sudah menganalisis mereka dengan sangat teliti. Mereka memiliki pemain dengan kualiti luar biasa, tetapi kami juga begitu. Kuncinya adalah menampilkan corak dan gaya permainan kami sendiri, serta meneutralkan pasukan lawan.
“Itulah bola sepak. Pasukan yang lebih seimbang biasanya lebih hampir untuk menang, walaupun ia bukan satu jaminan,” katanya.
De la Fuente berkata, Perancis kini lebih baik berbanding pasukan yang ditewaskan Sepanyol pada 2025, dengan kedua-dua pasukan semakin mantap selepas melalui tempoh tertentu.
Malah, beliau menegaskan tidak mahu terpengaruh dengan kenyataan jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang menganggap Sepanyol sebagai pilihan utama. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






