Home Buletin Semasa OP CANTAS BERSEPADU: 349 DITAHAN, 39 INDIVIDU DIKEHENDAKI DIBERKAS DI SELANGOR

OP CANTAS BERSEPADU: 349 DITAHAN, 39 INDIVIDU DIKEHENDAKI DIBERKAS DI SELANGOR

23
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 349 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi Op Cantas Bersepadu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa daerah di Selangor selama empat hari bermula 18 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 280 lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 83 tahun ditahan, termasuk 85 warga asing.

“Daripada jumlah keseluruhan lima daripada individu yang ditahan adalah orang dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala 34 lagi dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Op Cantas Bersepadu memberi fokus kepada usaha mengesan dan menangkap individu yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki, selain menumpukan tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang termasuk melumpuhkan sumber kewangan mereka melalui penguatkuasaan ke atas premis-premis yang dipercayai menjadi sumber pembiayaan kegiatan jenayah.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 235 serbuan dan pemeriksaan dilakukan di pelbagai lokasi sasaran termasuk premis perniagaan, kawasan kediaman dan tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, siasatan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi sama, pemeriksaan terhadap dua pusat hiburan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.

“Selain itu, 13 premis perniagaan dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah,”katanya.

Tambahnya pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan kompaun terhadap beberapa pemilik premis yang didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan lesen.

Katanya operasi khas itu dilancarkan melalui kerjasama strategik antara JSJ, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

Menurut beliau, operasi berkenaan turut membabitkan kolaborasi dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuh keberkesanan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu.

“Kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya yang membabitkan aktiviti jenayah terancang menerusi kerjasama erat dengan pelbagai agensi penguat kuasa,”katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis kerana kerjasama masyarakat merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here