Home Sukan OLYMPIAKOS CIPTA SEJARAH JUARAI LIGA KONFERENS

OLYMPIAKOS CIPTA SEJARAH JUARAI LIGA KONFERENS

147
0

ATHENS: Olympiakos muncul kelab pertama Greece merangkul kejuaraan Eropah apabila menang 1-0 ke atas Fiorentina selepas masa tambahan pada final Liga Konferens Europa awal pagi tadi.

Penyerang Maghribi, Ayoub El Kaabi meledak masuk gol kemenangan pada minit ke-116 yang menyaksikan pasukan kendalian Jose Luis Mendilibar melakar sejarah di gelanggang musuh tetangga AEK Athens.

Sebelum kejayaan Olympiakos, Panathinaikos satu-satunya kelab Greece yang layak ke final Eropah apabila mereka tumpas di tangan Ajax diketuai Johan Cruyff pada final Piala Eropah 1971.

“Saya terlalu gembira. Pasukan ini mencipta sejarah. Mendilibar menjadikan kami pasukan yang kuat. Beliau memberitahu kami untuk bermain sebagai satu keluarga,” kata pemain tengah Santiago Hezze.

Mendilibar, 63, muncul pengurus ketiga kelab Greece itu musim ini apabila mengambil alih pada Februari lalu dan beliau kini memenangi trofi Eropah berturut-turut selepas menang Liga Europa bersama Sevilla tahun lalu.

Selepas terikat 0-0 dalam masa sebenar, penentuan sepakan penalti kelihatan pasti hingga minit ke-116 apabila El Kaabi melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran silang Hezze bagi gol ke-16 buatnya dalam pertandingan Eropah musim ini.

Tempikan dan jeritan yang menyusuli pengesahan gol El Kaabi, berikutan semakan VAR yang mengambil masa, pada minit ke-120 daripada majoriti penyokong Greece di Athens membuktikan kejayaan itu amat bermakna buat kelab.

“Mengagumkan. Buat Olympiakos dan saya. Amat bangga dengan pemain kami. Kami bertindak hebat sepanjang tahun dan berhak meraikan kemenangan ini,” kata pemain gantian Stevan Jovetic kepada TNT Sports.

Penyerang dari Montenegro itu berkata, parti keraian di laman sendiri Olympiakos, Athens malam ini “pasti mengagumkan.”

Bagi Fiorentina, mereka kalah kali kedua berturut-turut pada final Liga Konferens Europa selepas tumpas 2-1 di tangan West Ham pada 2023 susulan gol kemenangan Jarrod Bowen pada minit ke-90.

“Saya perlu menyanjung Fiorentina, dua tahun berturut-turut. Tetapi ia memalukan buat mereka,” kata Jovetic, yang beraksi dengan kelab Tuscan itu dari 2008-2013.

– AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here