MADRID: Juara dunia sembilan kali, Marc Marquez dan Ducati bersedia kembali mencabar selepas berdepan kesukaran di Silverstone.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, dua minggu selepas Grand Prix (GP) Britain, MotoGP menuju ke MotorLand Aragon Ahad ini untuk pusingan ke-13 musim ini.
Litar itu antara kegemaran juara dari Catalonia berkenaan dengan Marquez sudah meraih lapan kemenangan, tujuh daripadanya dalam kelas MotoGP di litar Sepanyol tersebut.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Marquez mendominasi saingan di Aragon apabila meraih petak pertama serta memenangi Sprint dan Grand Prix, masing-masing ketika bersama pasukan Gresini dan skuad kilang Ducati.
Ia mengesahkan keserasian MotorLand dengan gabungan Marquez dan jentera Desmosedici GP. Peluang kini terbuka luas buatnya untuk cuba merapatkan jurang 40 mata dengan pendahulu kedudukan kejuaraan pelumba.
“Di Aragon, saya mengumpul banyak kejayaan pada masa lalu, terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini bersama Ducati. Ini litar yang menyerlahkan ciri-ciri saya serta keupayaan jentera kami sepenuhnya,” kata Marc.
“Berbanding Silverstone dan dengan tambahan dua minggu untuk pemulihan, saya yakin kami akan lebih hampir dengan kelompok pendahulu dan mampu bersaing bagi kedudukan penting, sama ada dalam pecut mahupun perlumbaan Ahad.”
Francesco Bagnaia turut hadir dengan harapan tinggi menjelang hujung minggu ini. Pelumba dari Piedmont, Itali itu menggunakan tempoh rehat dua minggu untuk memberi tumpuan kepada pemulihan dan latihan, dengan sasaran mendapatkan semula keyakinannya terhadap jentera Ducati dan kembali ke kelompok hadapan di litar yang menyaksikannya meraih kemenangan pertama dalam kelas utama pada 2021.
“Aragon mempunyai tempat istimewa buat saya. Di sinilah saya meraih kemenangan pertama dalam MotoGP dan kemenangan pertama saya bersama Ducati,” kata Pecco.
“Berbanding Silverstone, litar ini kurang menuntut dari segi fizikal. Saya menjangkakan kami akan lebih hampir dengan pendahulu sejak awal dan dapat kembali mengekori pelumba terpantas.” – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






