Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Badang Pahang hanya berpuas hati membawa pulang satu emas, dua perak dan tiga gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 gagal mencapai sasaran diletakkan.
Di atas kertas pasukan angkat berat Tok Gajah meletakkan impian membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi badang lelaki dan wanita yang menjalani latihan berpusat di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Kuala Rompin.
Pingat emas hadir pada hari terakhir saingan acara itu menerusi pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025, Muhammad Farris Haikal Kamarul dalam kategori lebih 110 kilogram (kg) apabila berjaya melakukan jumlah angkatan 305kg.
Musim ketiga mewakili Pahang dipentas SUKMA, beliau mencatat angkatan 135kg dalam acara snatch dan 170kg clean and jerk. Pingat perak menjadi milik atlet Johor, Isaac Masne dengan 274kg (112kg, 162kg).
Gangsa pula diraih wakil Terengganu, Muhammad Al Iqram Hamizan Rostan yang mencatat keseluruhan 273kg hasil angkatan 120kg dalam snatch dan 153kg clean and jerk.

Impian atlet muda, Muhammad Amin Khirul Anuar untuk membawa pulang pingat emas dalam kategori 71kg tidak menjadi kenyataan apabila dia hanya mampu meraih pingat perak dengan
angkatan 110kg snatch dan 153kg clean and jerk.
Musim kedua beraksi dipentas SUKMA, menurut atlet berkenaan dia amat kecewa apabila gagal memenuhi impian pasukan angkat berat Pahang yang menaruh harapan dia mampu merangkul pingat emas.
“Sasaran pasukan angkat berat Pahang membawa pulang dua pingat emas SUKMA tidak menjadi kenyataan, hanya Muhammad Farris sahaja yang berjaya menepati sasaran meraih pingat emas.
“Saya dan atlet wanita (Wardina Husna Abdullah) hanya mampu membawa pulang pingat perak, tiga pingat gangsa disumbang atlet wanita,” katanya.
Beliau berkata, dia akan berusaha membaiki jumlah angkatan dalam memastikan impian mendapat pingat emas SUKMA menjadi kenyataan pada SUKMA Perak 2028.
IMedikel TV






