Home Buletin Semasa APM PAHANG HENTI DEMONSTRASI, PERTUNJUKAN HAIWAN BERBISA

APM PAHANG HENTI DEMONSTRASI, PERTUNJUKAN HAIWAN BERBISA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang menghentikan serta merta semua program dan aktiviti demonstrasi atau pertunjukan membabitkan haiwan berbisa.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keputusan itu dibuat susulan kejadian seorang anggota meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung selar di Temerloh pada Ahad lalu.

Menurutnya, keputusan menghentikan demonstrasi berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan, terutama dalam aktiviti yang membabitkan haiwan berbisa.

Katanya, Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin meninggal dunia kira-kira jam 1.50 pagi Ahad lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh selepas lebih 14 jam bertarung nyawa akibat dipatuk ular tedung selar.

“Bagaimanapun kita tetap terus menjalankan operasi menangani kes membabitkan haiwan berbisa seperti menangkap ular yang berada dalam rumah serta mengancam keselamatan mereka yang terbabit.

“Operasi menangani haiwan berbisa masih beroperasi dan masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah, anggota yang ditugaskan dalam operasi haiwan berbisa sentiasa diingatkan supaya lebih berhati-hati dan melaksanakan setiap tindakan mengikut prosedur operasi ditetapkan

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi pada Sabtu itu, mangsa dipatuk pada jari tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia pada Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya.

Anggota APM terbabit adalah individu yang terlatih dan berkemahiran berdasarkan bidang kepakaran serta berpengalaman dalam mengendalikan haiwan berbisa dan aktif berkhidmat bersama APM sejak tahun 2010.

Semua anggota APM diwajibkan untuk menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan untuk menyertai operasi.

Anggota yang terlibat juga sudah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan.Walau bagaimanapun, APM mengambil serius setiap insiden yang berlaku dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti berkaitan dari semasa ke semasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here