Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
ALOR SETAR: Helah seorang lelaki yang cuba menyembunyikan identiti dengan menggunakan cermin gelap terbongkar selepas kenderaan dipandunya ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di sekitar Jalan Putra, di sini, Isnin lalu.
Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki Lesen Memandu Malaysia (LLM) yang sah, manakala cukai jalan kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans.
JPJ menerusi kenyataan di laman rasmi memaklumkan, keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila lelaki terbabit mengemukakan Kad Pengenalan Malaysia milik isterinya kepada anggota penguat kuasa dan mendakwa dirinya berbangsa Melayu.
“Dalam masa sama, lelaki berkenaan turut dilihat selamba mengunyah daun sirih ketika pemeriksaan dijalankan.
“Helah itu bagaimanapun terbongkar selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, sebelum kenderaan berkenaan disita untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
JPJ Negeri Kedah menegaskan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Undang-undang jalan raya wajib dipatuhi oleh semua pengguna tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






