Leipzig: Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji dua pemain gantiannya apabila – Darwin Nunez dan Caoimhin Kelleher – membantu pasukan itu meneruskan permulaan cemerlang kelab itu dengan kemenangan 1-0 di tempat lawan RB Leipzig awal pagi tadi.
Kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara dan mereka memenangi kesemua enam perlawanan pertama mereka di tempat lawan untuk memulakan musim ini dengan rekod baharu kelab.
Pengendali dari Belanda itu kini sudah memenangi 11 daripada 12 perlawanan sejak menggantikan Juergen Klopp di Anfield, juga satu rekod kelab.
Dia nampaknya mempunyai sentuhan menakjubkan pada masa ini dan walaupun terpaksa menurunkan pemain pilihan kedua, tetapi tetap berhasil, seperti yang terjadi di Leipzig awal pagi tadi.
Nunez lebih banyak dimasukkan sebagai pemain gantian musim ini, tetapi kecederaan Diogo Jota memberi peluang kepada pemain Uruguay itu memulakan perlawanan dan dia mengambil sepenuhnya peluang tersebut.
Dia meledak gol kemenangan dan memaksa penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi menyelamatkan percubaannya berbahaya.
Slot berasa kesal kerana pasukannya gagal menamatkan perlawanan dengan lebih banyak jaringan dan Liverpool mengalami beberapa detik mendebarkan di penghujung perlawanan.
Namun Kelleher yang diturunkan bagi menggantikan Alisson yang cedera, berjaya melakukan dua penyelamatan hebat untuk mengekalkan kelebihan pasukannya.
“Kami sangat bernasib baik. Ia juga normal bagi kelab seperti kami untuk mempunyai dua pemain terbaik di setiap posisi.
“Kami gembira kerana mempunyai dua penjaga gol hebat. Tetapi bukan sahaja dia – pemain-pemain lain yang jarang bermain musim ini atau tidak memulakan permainan juga menyerlah hari ini,” kata Slot.
Gol kedua Nunez musim ini hadir pada minit ke-27 selepas menolak masuk tandukan Mohamed Salah yang sudah menuju ke dalam gawang Leipzig.
Liverpool yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris, akan bertandang ke Arsenal pada Ahad dengan kemenangan akan melebarkan jarak antara kedua-dua pasukan itu kepada tujuh mata. – REUTERS, HMetro –
IMedikel TV






