Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
TUMPAT: Hampir 50 anggota daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama kerajaan negeri menghantar kotak makanan bencana kepada mangsa di beberapa kampung yang terkepung banjir termasuk di Gugusan Kepulauan Tumpat.
Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Amatur Kelantan Che Adnan Che Kadir berkata, pihaknya hadir dengan 45 orang kekuatan di bawah gabungan NGO, 15 kenderaan pacuan empat roda juga menaiki bot membawa sumbangan kotak makanan sejak dua hari lalu di Teluk Renjuna dan Pulau Seratus.
“Menerusi pergerakan secara berkonvoi dan agihan dibahagikan secara berkumpulan menerusi jeti Pantai Ndo, kotak makanan ini diberikan secara purata 20 hingga 25 kotak bagi setiap kampung.
“Selain di Gugusan Kepulauan Tumpat, kotak makanan bencana ini juga diberikan ke beberapa kampung daratan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran yang masih terperangkap dan terkesan banjir termenung,” katanya, hari ini.


Sementara itu, Penghulu Mukim Teluk Renjuna Hadi Hassan berkata di Gugusan Kepulauan Tumpat adalah lokasi yang mempunyai 11 pulau antaranya Teluk Renjuna, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Nik Him, Pantai Nik Mud, Pantai Suri dan Pantai Baru, yang mana bot digunakan untuk pergerakan serta pengangkutan mereka untuk ulang-alik ke daratan.
“Berikutan banjir empat hari lalu, aliran sungai menjadi deras dan menyukarkan pergerakan seharian penduduk termasuk hal kecemasan. Mereka memperoleh bekalan makanan keperluan bernilai RM100 setiap kotak yang mengandungi beras, susu, tepung gandum, gula dan minyak masak.
“Kehadiran gabungan NGO ini melibatkan Majlis Belia Malaysia (MBM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Amatur Kelantan, Kelab Radio Amatur Malaysia (KRAM), Triton Tuners Club Malaysia dan Muarlite Industries Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Tumpat, Pusat Khidmat DUN Kelaboran dan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia,” katanya.
Hadi berkata sebelum ini pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah tampil memberi bantuan asas dan usaha gabungan NGO ini adalah kali kedua selepas JKM, sekali gus melengkapkan mana-mana keperluan harian semasa penduduk.
IMEDIKEL TV





