Home Buletin Semasa NEKBAT, KUIH POPULAR BULAN PUASA

NEKBAT, KUIH POPULAR BULAN PUASA

373
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kuih nekbat sudah sinonim bagi rakyat di Tanah Serendah Sekebun Bunga dan sangat terkenal di bulan Ramadan berbanding bulan lain.

Resepinya mudah namun permintaan tinggi dalam kalangan rakyat di negeri ini menjadikan kuih tersebut istimewa khususnya pada bulan puasa.

Seorang peniaga juga pembuat kuih nekbat, Abdul Rahman Abdul Aziz, 37, dari Kota Bharu ketika ditemui berkata dia turut mengakui kuih tersebut menjadi salah satu pemanis mulut yang terkenal.

“Resepinya mudah sahaja hanya menggunakan bahan asas seperti tepung beras, telur dan air gula.

“Kuih nekbat ini kalau bulan puasa memang permintaan tinggi. Biasa kalau saya buat 200 hingga 300 biji sehari, memang habis terjual khususnya pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, dia sudah hampir 30 tahun berniaga kuih bersama ibunya ketika dia masih kanak-kanak dan resepi kuih tersebut adalah turun temurun.

“Setiap kali tiba bulan Ramadan memang saya akan jual kuih nekbat.

“Saya juga buka jualan kepada mereka yang ingin bersedekah atau memberi sumbangan. Terdapat individu yang menempah hingga hampir 500 biji untuk diagihkan kepada pelajar tahfiz,”katanya.

Jelasnya, walaupun resepi kuih itu mudah namun cara pembuatannya memerlukan penilitian supaya ia kelihatan cantik dan saiz yang sama.

Abdul Rahman berkata dia juga mempromosi kuih nekbat di platform media sosial.

“Saya juga menjual kuih nekbat dalam beg kuning di platform media sosial, tetapi yang kering dan asingkan air gula.

“Permintaan di platform media sosial juga tinggi, setiap kali saya buka beg kuning, memang akan habis terjual,”katanya.

Selain nekbat Abdul Rahman juga menjual kuih bunga tanjong, jala emas dan tahi itik yang turut mendapat permintaan tinggi.

Katanya, kuih muih tradisional dari negeri Che Siti Wan Kembang biasanya agak manis dan dijadikan sebagai pemanis mulut.

Namun katanya dia akan memaklumkan kepada pelanggan jika ada dalam kalangan mereka kurang gemar kuih yang manis.

“Mereka akan tanya dulu, manis ke tidak? Kalau saya jawab manis mereka biasanya akan beli satu je,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here