Home Sukan NAPLES MERIAH SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-65 MARADONA

NAPLES MERIAH SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-65 MARADONA

NAPLES: Suasana penuh emosi menyelubungi bandar Naples semalam apabila penduduk tempatan meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 legenda bola sepak dunia, Diego Maradona, dengan satu perarakan khas yang membawa patung ikonik beliau mengelilingi kota.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, sebuah lori kecil yang dicat warna biru langit, warna tradisi Napoli, digunakan untuk membawa patung Maradona melalui jalan-jalan utama sebagai simbol penghormatan kepada bekas kapten Argentina itu yang pernah membawa Napoli menjuarai Serie A pada 1987 dan 1990.

Maradona, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2020, terus dianggap sebagai ‘dewa bola sepak’ di Naples dan semangatnya masih hidup dalam kalangan penyokong setia kelab berkenaan.

“Diego tidak mati. Tubuhnya sudah tiada, tetapi rohnya hidup dalam diri kami rakyat Naples, dalam hati semua yang mencintainya. Saya meraikan hari lahir Diego setiap tahun, dan hakikatnya Diego milik rakyat,” kata pemilik Muzium Maradona, Massimo Vignati.

Patung berkenaan dikeluarkan dari muzium khas Maradona dan dibawa menjelajah seluruh bandar sepanjang hari, dengan ribuan penyokong berpakaian biru memenuhi jalan sambil menyanyikan lagu-lagu kebanggaan Napoli.

“Diego simbol penyatuan. Dia menyatukan rakyat, termasuk mereka dari utara Itali yang suatu ketika dulu menentang kami. Terima kasih kepada Diego, orang luar Naples juga kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ini,” kata seorang penduduk tempatan penuh emosi.

Lebih tiga dekad selepas memimpin Napoli ke puncak kegemilangan, nama Diego Armando Maradona kekal abadi, bukan sekadar legenda bola sepak, tetapi juga lambang kebanggaan dan semangat kota Naples. – REUTERS, Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here