KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tiket ke suku akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman selepas menewaskan wakil Republik Czech, Jiri Kral-Ondrej Kral, awal pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, pasangan pilihan utama yang juga beregu nombor dua dunia itu menampilkan aksi bertenaga apabila menundukkan lawan mereka 21-14, 21-19 dalam aksi pusingan kedua di Arena Tertutup Saarlandhalle.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani bagi perebutan tiket ke separuh akhir, malam ini.
Pertemuan itu bakal menjadi ulangan aksi suku akhir Terbuka Perancis minggu lalu yang menyaksikan pasangan negara menumpaskan wakil Indonesia berkenaan.
Sementara itu, dalam acara beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Sepanyol, Nikol Carulla-Carmen Maria Jimenez 25-23, 21-14.
Pasangan ranking ke-34 dunia itu dijadual bertemu wakil Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun yang menghuni tangga ke-18 dunia.
Namun, dua wakil perseorangan wanita negara gagal meneruskan cabaran selepas K. Letshanaa tewas 11-21, 13-21 di tangan pilihan kedua dari Denmark, Mia Blichfeldt, manakala S Kisona turut tersingkir apabila tunduk kepada pilihan utama Indonesia, Putri Kusuma Wardani 11-21, 13-21.
Dalam acara beregu campuran pula, pasangan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien akur dengan kekalahan 13-21, 10-21 kepada pilihan keenam dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat. – BH Online –
IMedikel TV






