Home Buletin Semasa NABIL TIDAK PERNAH MERUNGUT WALAU HIDUP DALAM KESUSAHAN

NABIL TIDAK PERNAH MERUNGUT WALAU HIDUP DALAM KESUSAHAN

146
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Sebaik tiba tahun baharu, sudah tentu menjadi impian kanak-kanak untuk mendapat kelengkapan persekolahan mahupun perayaan yang serba baharu.

Namun, nasib tidak menyebelahi seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun dari Kampung Bukit Jarum, Nabil Hafifi Zulgarnai kerana mengalami masalah kekangan kewangan dan kesempitan hidup.

Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata melihat sahaja kisah kanak-kanak itu, terdetik perasaan kasihan dan sayu terhadap Nabil sekeluarga.

“Saya yakin dia (Nabil) juga mempunyai hasrat yang sama seperti kanak-kanak lain untuk membeli pakaian sekolah baharu di awal persekolahan serta pakaian raya baharu sebaik tiba perayaan.

“Tetapi, dia terpaksa menelan segala kesusahan itu kerana memahami akan masalah keluarganya yang serba kekurangan itu,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Ujar Wan Zalilah, meskipun kanak-kanak itu berdepan pelbagai cabaran dalam hidup, beliau tidak menyangka anak sekecil itu tidak pernah merungut akan nasib yang terpaksa dihadapinya.

Katanya, bapa Nabil, Zulgarnai Mamat, 46 kini bekerja sebagai penoreh getah manakala ibunya Siti Hajar Besar, 47 menghidap penyakit saraf sejak Nabil berumur setahun.

“Ini yang menjadi kekangan dalam keluarganya, Nabil dan keluarganya terpaksa menghadapi masalah ini memandangkan bapanya tidak dapat keluar jauh untuk mencari rezeki kerana perlu sentiasa menjaga isterinya dan hanya bergantung kepada rezeki menoreh getah sahaja,” katanya.

Tambahnya, sebaik tiba musim awal persekolahan baru-baru ini, Nabil tidak mempunyai pakaian sekolah yang baharu kerana tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk berbelanja.

“Sama juga dengan kelengkapan perayaan yang akan datang, dia juga terpaksa menghadapi keadaan yang sama namun kami tahu jauh di sudut hatinya menyimpan perasaan ingin memakai pakaian baharu ketika awal persekolahan dan perayaan,” katanya.

Bagaimanapun, pihak 3rd Force Pasir Mas berusaha membantu Nabil dan keluarganya dengan menyalurkan bantuan seperti pakaian sekolah yang baharu, kelengkapan perayaan selain memberi bantuan sebuah kerusi roda dan lampin pakai buang untuk ibunya yang terlantar serta kelengkapan barangan basah.

“Kami di 3rd Force Pasir Mas ingin mengajak orang baik di luar sana untuk sama-sama membantu keluarga ini, secebis sumbangan dari kita semua akan dapat memberi sedikit kegembiraan untuk keluarga ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here