Home Buletin Semasa MURTABAK BUNCIT JADI TARIKAN

MURTABAK BUNCIT JADI TARIKAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: “Tebal, gemuk dan sado” itu adalah slogan Murtabak Al Buncit yang diusahakan seorang peniaga di Kampung Bendang Morak, di sini.

IMedikel TV berkesempatan menemuramah pengusaha murtabak al buncit di kedainya baru-baru ini.

Muhammad Syafiq Ibrahim, 38, atau lebih dikenali Uncle Dak, berkata sejak dua tahun kebelakangan ini perniagaannya agak perlahan, maka tercetuslah idea untuk menginovasi murtabak itu.

“Sebenarnya saya baru menjual murtabak al buncit pada bulan Ramadan tahun ini. Sebelum ini, pada bulan puasa saya menjual lauk pauk tetapi agak perlahan sedikit, jadi sudah dua tahun perniagaan saya pada bulan puasa perlahan.

“Jadi tahun ini kena fikir cara lain pula. Tercetusnya idea murtabak ini apabila saya mengambil stok ikan patin di Jerantut. Saya membeli muratabak yang tebal macam ini di sebuah kedai berdekatan.

“Apabila saya cuba makan, memang rasa sangat sedap dan atas saranan bapa saya, saya cuba untuk berniaga murtabak ini pada bulan puasa tahun ini,”katanya.

Menurut Uncle Dak selepas keputusan itu dipersetujui, dia mula membuat penyelidikan untuk menu tersebut serta bertanya kepada chef dan beberapa penduduk di Jerantut cara pembuatan murtabak tersebut.

“Maka, terjadilah Murtabak Al Buncit Uncle Dak (MABUD),”katanya.

Murtabak buncit tersebut kaya dengan limpahan isi daging dan ayam menyebabkan ia menjadi tarikan kepada pelanggan.

“Setakat ini ada dua variasi murtabak iaitu isi daging dan ayam. Cuma permintaan daging lebih tinggi berbanding ayam iaitu sebanyak 80 peratus.

“Pada awal pengenalan, murtabak al buncit terjual lebih 100 biji. Sekarang lebih kurang 200 biji,”katanya.

Ditanya tentang keistimewaan murtabak buncit itu, ini jawapan Uncle Dak.

“Sedap atau tidak itu sebenarnya subjektif. Ada yang cakap sedap, ada kata biasa. Saya tidak boleh kata terlampau sedap tetapi ada rasa murtabak.

“Tetapi yang pasti inti banyak dan berat mencecah 500 gram,”katanya.

Murtabak setebal dua inci itu biasanya boleh dinikmati oleh tiga atau empat orang.

“Kalau makan seorang tidak habis, dua orang kenyang, kalau tiga orang lagi kenyang, kalau empat orang sedang elok,”katanya.

Menurutnya dia kini dibantu isteri Siti Syukrina Mohd Zari, 32, dan enam pekerja.

Uncle Dak yang juga graduan dalam bidang Pengajian Perniagaan di sebuah universiti awam berharap murtabak yang diusahakannya lebih dikenali dan akan menjadi benchmark di kedainya.

“Saya sasarkan untuk menambah baik terutama dari segi pembungkusan dan pensijilan. Memang matlamat kami adalah untuk mendapatkan pensijilan halal baru boleh pergi lebih jauh lagi.

“Mungkin boleh menyertai ekspo dalaman dan juga antarabangsa sebab murtabak ini adalah tarikan untuk kita pergi lebih jauh lagi.

“Mungkin selepas ini kita boleh menggunakan sistem ejen,”katanya.

Tambahnya untuk lebih adil, dia hanya membuka jualan secara walk-in di kedainya dan tidak menerima sebarang tempahan.

Menurut Uncle Dak murtabak buncit dijual pada harga RM15 sebiji untuk inti ayam dan daging.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here