Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada kali ini memberi semangat baru kepada pengguna dalam meringankan beban kewangan untuk menampung perbelanjaan harian memandangkan kos sara hidup semakin meningkat pada masa kini.
Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak memerlukan, tetapi mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menjelang perayaan, rata-rata pengguna mengakui pelbagai kelengkapan raya perlu disediakan dan mereka kini boleh menghela nafas lega apabila mengetahui pembayaran STR dibuat bermula Isnin lalu.
Menurut seorang penjual kuih, Che Saripah Che Mohd Zain, 56 ketika ditemui menzahirkan rasa syukur kerana masih mempunyai peluang untuk menerima bantuan itu.

“Alhamdulillah saya terima dengan rasa syukur dan bahagia kerana sedikit sebanyak bantuan ini dapat menampung perbelanjaan harian termasuk untuk beli barangan yang dimasak pada hari raya.
“Memang tepat pada masa bantuan ini dibayar sebab kalau nak beli guna duit yang ada sekarang mungkin tidak banyak sebab hanya dengan kudrat saya menjual kuih di bazaar ini,” katanya ketika ditemui di bazaar Ramadan Berek 12, di sini, baru-baru ini.
Menurut Che Saripah, dia berniaga pelbagai jenis kuih buatan sendiri termasuk karipap sardin dan ubi, sardin roll dan tepung malas (cekodok).
Katanya, sumber pendapatan untuk menampung kos sara hidup keluarga adalah bergantung padanya sahaja memandangkan suami tidak bekerja.
Selain itu, seorang lagi penerima, Darus Abdullah, 54 berkata sumbangan tersebut memberi manfaat besar terhadap dirinya kerana menerima sejumlah wang secara berperingkat.

“Bagus dan perlu dikekalkan sumbangan sebegini sebab ramai pengguna yang memang tergolong dalam golongan kurang berkemampuan lebih-lebih sekarang nak menyambut hari raya, memang banyak nak pakai duit nak beli barang-barang.
“Saya juga berterima kasih pada kerajaan kerana beri sumbangan ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan menyalurkan STR Fasa 2 secara berperingkat kepada hampir sembilan juta penerima membabitkan agihan peruntukan kira-kira RM1.7 bilion, berbanding RM1.5 bilion tahun lalu.
Bantuan sehingga RM650 itu bakal diterima 60 peratus penduduk dewasa bagi empat kategori, iaitu isi rumah berpendapatan kurang RM2,500, isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, warga emas tiada pasangan dan bujang.
IMedikel TV






