LAUSANNE: Jose Mourinho digantung bagi empat perlawanan Eropah kerana mencerca pengadil Anthony Taylor selepas kekalahan AS Roma di tangan Sevilla pada final Liga Europa, umum Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) semalam.
Pengendali dari Portugal itu berbalah dengan Taylor di tempat parkir susulan kekalahan Roma menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 di Budapest.
Mourinho digantung daripada “empat perlawanan berikutnya yang mana beliau terbabit dalam pertandingan kelab UEFA kerana mengeluarkan bahasa kesat terhadap pegawai perlawanan”, kata badan induk bola sepak Eropah itu.
Pasukannya akan beraksi pada peringkat kumpulan Liga Europa musim depan.
Roma turut didenda 50,000 euro (RM255,000) dan diharamkan daripada membawa penyokong ke gelanggang lawan bagi perlawanan Eropah berikutnya “kerana menyalakan bunga api, membaling objek, merosakkan harta benda dan rusuhan penonton”.

Kelab Itali itu turut didenda 5,000 euro (RM25,500) kerana “kelakuan tidak wajar pasukan mereka” dan diarah “menghubungi Persekutuan Bolasepak Hungary dalam masa 30 hari” untuk bersetuju dengan bayaran pampasan susulan kerosakan yang disebabkan oleh penyokong mereka di stadium.
Taylor diganggu dan dimaki hamun oleh peminat Roma di lapangan terbang Budapest bersama keluarganya sehari selepas final penuh kontroversi itu.
Pengadil dari England itu melayangkan kad kuning kepada 13 pemain, tujuh daripadanya dari Roma, manakala perlawanan yang tegang itu dihentikan beberapa kali kerana jumlah kekasaran yang terlalu banyak.
Ia kemenangan ketujuh Sevilla dalam Liga Europa dan kekalahan final Eropah pertama dalam karier pengurusan Mourinho.
Sumber: BH Online & AFP
Imedikel TV






