Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
JERANTUT: Minat yang mendalam serta pengalaman mengusahakan tanaman anggur menjadi pemangkin kejayaan Syed Norhaimi Syed Zin, 61, sehingga berjaya menghasilkan pelbagai varieti anggur berkualiti dan dikenali di Pahang.

Beliau yang mula menceburi tanaman anggur jenis manis atau ‘table grape’ lebih lima tahun lalu kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) bagi memajukan tanaman itu secara komersial.
Syed Norhaimi berkata, ketika ini beliau memiliki lebih 100 pokok anggur membabitkan 17 varieti yang ditanam di kawasan kediamannya di Taman Seri Embun serta di Pusat Pertanian Temin, di sini.
“Bagi menghasilkan pokok yang berkualiti, berbuah lebat dan bersaiz besar, tanaman anggur perlu diusahakan di dalam rumah hijau.
“Ketika ini terdapat empat rumah hijau yang menempatkan pokok anggur matang termasuk tapak semaian.
“Pada peringkat awal, saya berdepan pelbagai cabaran apabila buah yang dihasilkan bersaiz kecil, rasanya agak masam dan kurang menarik,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Terbaharu, katanya serangan sejenis serangga terhadap anak pokok turut menyebabkan banyak pokok mati.
“Bagaimanapun, selepas melakukan kajian dan percubaan menggunakan gabungan baja kimia serta organik, pokok anggur kini mampu menghasilkan buah yang lebih banyak dan rasanya manis,”katanya.

Beliau berkata, hasil yang diperoleh daripada pokok matang kini hampir menyamai kualiti anggur import, manakala sebahagian pokok yang ada sedang mengeluarkan buah yang masih belum matang.
Syed Norhaimi turut berkata, kerjasama dengan JPNP membuka peluang untuk memajukan Pusat Anggur Temin yang terletak di kawasan Pejabat Pertanian Temin sebagai destinasi agro pelancongan di negeri ini.
“Antara 17 varieti anggur yang ditanam ialah Heliodor (buah hijau), Jupiter (buah hitam), Velez (buah kemerahan), Baikonar, Lorano, Juvile, Montecristo dan Krasava.
“Projek tanaman anggur di Pusat Pertanian Temin akan terus diperluaskan dengan sokongan JPNP yang berusaha mengangkat tanaman anggur sebagai antara produk agro pelancongan terkenal di Pahang,”katanya.
IMedikel TV






