Home Buletin Semasa JIM PERIKSA 266 WARGA ASING DI FOREST CITY, SIASATAN LANJUT MASIH DITERUSKAN

JIM PERIKSA 266 WARGA ASING DI FOREST CITY, SIASATAN LANJUT MASIH DITERUSKAN

31
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor semalam membabitkan pemeriksaan ke atas 266 warga asing dari 40 negara.

Operasi itu dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, berkata semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.

“Bagaimanapun semakan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.

“Setiap kemasukan warga asing ke Malaysia tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa, dengan pemeriksaan di pintu masuk negara dibuat berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan semasa,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata JIM akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.

“Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”tegasnya.

Beliau berkata, JIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here