Home Buletin Semasa JIM JOHOR TAHAN 153 WARGA ASING DALAM OPERASI SERENTAK DI SELURUH NEGERI

JIM JOHOR TAHAN 153 WARGA ASING DALAM OPERASI SERENTAK DI SELURUH NEGERI

30
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 153 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi khas yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri pada 13 Julai lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi berskala besar itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa bersama semua cawangan penguatkuasa daerah bagi membanteras kegiatan warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan secara haram serta melakukan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan rapi sebagai bukti komitmen jabatan dalam memastikan tiada ruang atau kompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara untuk mengaut keuntungan melalui aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas premis yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing secara menyalahi undang-undang.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah penyalahgunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 21 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga Nepal, 31 lelaki warga Bangladesh, 57 lelaki dan 21 wanita warga Indonesia, dua lelaki warga India serta 10 lelaki warga Pakistan berusia antara 19 hingga 51 tahun ditahan.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan lanjut, manakala sebanyak 16 Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan,”katanya.

Mohd Rusdi menegaskan JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan sedemikian.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here