KUALA LUMPUR: Pelawak Nabil mendakwa tidak mengetahui mengenai video tular memaparkan gelagat mesra anak sulung, Nayla Mikayla, 13, bersama individu dikatakan remaja lelaki.
Memetik laporan menerusi Berita Harian Nabil mengaku belum menonton video itu, malah, tidak merasakan perlu berbuat demikian.
Bagaimanapun, Nabil mengaku pelik apabila menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan atas alasan konon bakal menerima menantu.
“Baru-baru ini, ada kawan-kawan ucap tahniah bakal terima menantu. Saya pelik sebab tiada acara merisik. Apabila bertanya kepada isteri, dia pun tidak tahu.
“Mika baru berusia 13 tahun. Bagi saya, masih terlalu awal untuk dia bercinta… Kalau ada pun cinta monyet.
“Kalau setakat rakan sekolah, saya tak boleh cakap apa. Hendak tegur pun kena ada caranya, takut nanti dia merajuk,” katanya pada sidang media Anugerah Meletop Era di sini, semalam.
Nabil yang mendakwa membenarkan Mika menggunakan telefon pintar setiap hujung minggu, mengakui tidak pernah memantau penggunaan gajet berkenaan oleh anaknya itu.
Sebaliknya, tugas itu diserahkan kepada isteri, Zira Ayub.
“Dilema jadi bapa pada zaman sekarang. Kalau ditegur, nanti merajuk. Tetapi, kalau tidak cakap, lain pula jadinya.
“Saya pernah ingatkan Mika bahawa saya bekerja dalam bidang ini. Jadi, dia kena jaga nama baik keluarga. Mungkin dia belum matang, jadi, kesannya, dia belum nampak,” katanya sambil menambah Zira tidak memaklumkan apa-apa mengenai isu klip video viral itu kepadanya.
Nabil bagaimanapun meminta isteri untuk menegur Mika dan menerima hakikat proses mengasuh anak-anak yang kian membesar memberi cabaran tersendiri. – BH Online –
IMedikel TV






