Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Ramalan METMalaysia menunjukkan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini.
METMalaysia dalam satu kenyataan menyatakan sepanjang tempoh berkenaan, timur Semenanjung berpotensi dilanda hujan yang berterusan.
Berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang hari ini hingga pagi esok.
Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Dalam kenyataan berasingan, ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda lima negeri iaitu di beberapa kawasan di Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Johor sehingga jam 3 petang hari ini.
Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Pekan dan Rompin manakala di Selangor, ribut petir dijangka melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, dan Sepang.
Negeri Sembilan turut terjejas di kawasan Seremban, Port Dickson, dan Rembau manakala di Johor, kawasan yang diramalkan mengalami ribut petir adalah Segamat dan Mersing.
METMalaysia menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan aktiviti luar sehingga keadaan cuaca kembali stabil. – METMalaysia –
IMedikel TV






