MIAMI: Lionel Messi boleh kembali ke aksi Major League Soccer (MLS) hujung minggu ini dengan pemain Argentina itu berharap dapat memberi rangsangan kepada harapan playoff buat Inter Miami yang semakin merosot.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Messi bermain hanya 37 minit untuk kelabnya sejak 3 September sebelum kembali dengan kecederaan daripada tugasan antarabangsa bersama Argentina bulan lalu.
Ketiadaannya amat dirasai, dengan Miami tidak pernah menang dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka dan tewas di final Piala Terbuka Amerika Syarikat kepada Houston.
Miami tewas 1-4 kepada Chicago pertengahan minggu ini tanpa pemenang Ballon D’Or tujuh kali tetapi pada hari berikutnya dia disenaraikan dalam skuad Argentina untuk kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan yang akan datang.
Perkara itu mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin bersaing untuk menentang pendahulu Eastern Conference, Cincinnati awal pagi esok dan keyakinan itu meningkat selepas dia berlatih pada Khamis dan Jumaat.
Bagaimanapun, selaras dengan pendekatan kelab sepanjang tempoh kecederaan, tiada petunjuk daripada penolong jurulatih, Javier Morales sama ada Messi akan diletakkan dalam kesebelasan utama.
“Ia lebih daripada sama seperti sebelum ini. Kita kena nilai dia hari demi hari. Dia berlatih semalam, dia akan berlatih hari ini, dan selepas itu kami pasti akan membuat keputusan. Tetapi setiap hari dia melakukan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita.
Jika Miami mahu mencapai matlamat yang kini tidak mungkin untuk melanjutkan musim mereka ke playoff, mereka pasti memerlukan Messi untuk berada di atas padang.
Pasukan Gerardo Martino berada di bahagian bawah Eastern Conference, lima mata di belakang tempat playoff terakhir, tempat kesembilan, dengan baki tiga perlawanan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






