BEIJING: Beberapa salun rambut di China memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila memperkenal mesin syampu AI yang boleh mencuci dan membilas rambut pelanggan dalam tempoh 13 minit sahaja.
Menurut saluran berita China yang dilapor Oddity Central, peranti mencuci rambut itu digunakan di salun dandadan rambut di pelbagai daerah di Wilayah Guangzhou.
Mesin inovatif itu bergantung pada sensor inframerah untuk mengesan kulit kepala pengguna dan kemudian memilih syampu yang sesuai serta kaedah penyucian berdasarkan jenis rambut.
Pemilik salun rambut di daerah Tianhe berkata, mesin syampu AI menampilkan beberapa mod basuh seperti cucian laju, biasa, masa tambahan atau pancuran air serta tiga tetapan urutan kulit kepala yang berbeza.
Mesin itu juga mempunyai mod berbeza untuk pelanggan rambut panjang dan pendek.
Apabila perkhidmatan automatik itu mula-mula dilancarkan, harga untuk sesi syampu AI ialah 9.9 yuan (RM5.97), tetapi ia meningkat hampir dua kali ganda kepada 19 yuan (RM11.46) kerana popularitinya.
Sekurang-kurangnya 13 minit diperlukan untuk sesi mencuci rambut biasa.
Di sebalik popularitinya, mesin itu turut meraih kritikan apabila ada pelanggan mengadu kepala mereka sakit apabila menggunakan perkhidmatan berkenaan.
“Saya sudah mencubanya dan kulit kepala saya sakit,” dedah seorang netizen di Weibo.
Ada juga yang mengatakan cucian rambut oleh mesin AI itu tidak bersih dan tetap perlu membersihkan rambut seperti biasa.
“Mesin ini hanya menyembur buih dan membilas dengan air, tetapi ia tidak boleh sampai ke belakang kepala saya.
“Ia tidak cukup bersih. Saya perlu mencuci semula rambut,” tulisnya. -Agensi, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






