Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Walaupun terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hospital akibat keracunan makanan, namun Aimimuqri Harraz Mohd Sufian tetap berjaya meraih keputusan cemerlang 8A dan 1B.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher itu dimasukkan ke hospital selama lima hari dan terpaksa menjawab empat subjek teras seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam dalam keadaan kurang selesa.

“Memang masa tu saya berdepan dengan masa yang sukar, tetapi saya gagahkan juga sebab tak nak sia-siakan usaha selama ni,” katanya ketika ditemui selepas selepas menerima keputusan SPM 2024 di Dewan Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid di SMK Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu, hari ini.
Katanya dia ditemani ibu dan bapa tercinta, Wan Faziawati Wan Muhamad dan Mohd Sufian Abdulllah untuk mengambil keputusan peperiksaan hari ini .
Menurutnya, walaupun sedih tidak dapat menduduki peperiksaan bersama rakan-rakan, dia tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan baki kertas peperiksaan di sekolah.

Ibunya, Wan Faziawati Wan Muhamad, bersyukur dengan pencapaian anak bongsunya itu walaupun diuji dengan kesihatan.
”Walaupun Bahasa Inggeris menjadi satu-satunya subjek B, namun saya bersyukur dengan keputusan SPM yang diperoleh.
”Saya yakin dengan kemampuan dan kejayaan anak saya memandangkan dia beroleh keputusan cemerlang A+ bagi semua subjek lain selepas dia keluar dari hospital,”katanya.
Aimimuqri berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang penerbangan, selari dengan minatnya itu.
IMedikel TV






