Home Luar Negara GEMPA BUMI MAGNITUD 6.3 LANDA ECUADOR, 20 CEDERA

GEMPA BUMI MAGNITUD 6.3 LANDA ECUADOR, 20 CEDERA

352
0

QUITO: Gempa bumi magnitud 6.3 melanda kawasan pesisir pantai Ecuador pada Jumaat, menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, ia menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera serta merosakkan beberapa bangunan di bandar Esmeraldas dan menjejaskan operasi infrastruktur minyak buat sementara waktu.

Menurut EMSC, gempa itu berlaku pada kedalaman 23 kilometer (km) tetapi pihak berkuasa Ecuador tidak mengeluarkan amaran tsunami.

Laporan kerajaan memaklumkan bahawa 20 orang cedera dan sekitar 135 keluarga terjejas akibat kejadian itu, dengan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan bahagian lain, akibat gempa bumi yang turut dirasai sejauh ibu negara Quito.

Seorang wartawan AFP di Esmeraldas menyaksikan dinding runtuh, bahagian hadapan bangunan jatuh ke jalan raya serta beberapa bangunan yang retak.

Pihak berkuasa memaklumkan empat pusat kesihatan dan 18 sekolah rosak, manakala bahagian hadapan sebuah bangunan ketenteraan turut runtuh sebahagiannya. Dua jalan raya dan sebuah jambatan turut terjejas.

Anggaran rasmi menunjukkan kira-kira 80 peratus rumah kehilangan akses kepada bekalan elektrik dan komunikasi telefon.

Presiden Daniel Noboa menerusi platform media sosial X berkata, kerajaan akan menubuhkan pusat perlindungan, menghantar kit bantuan kemanusiaan serta ‘membantu segala keperluan rakyat’.

Dua saluran paip utama negara, SOTE dan OCP, menyambung semula operasi mengepam minyak mentah selepas dihentikan seketika sebagai langkah berjaga-jaga susulan gempa.

Syarikat milik kerajaan, Petroecuador, memaklumkan bahawa eksport tidak terjejas, namun Loji Penapis Esmeraldas, merupakan loji penapis terbesar negara dengan kapasiti 110,000 tong sehari, masih ditutup untuk pemeriksaan lanjut.

Institut Geofizik Ecuador, yang menganggarkan magnitud gempa pada 6, turut melaporkan satu lagi gegaran magnitud 4.1 beberapa minit kemudian di wilayah Guayas.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan pemantau tempatan memaklumkan gempa berlaku di luar pesisir pada kedalaman kira-kira 35km, sekitar jam 7 pagi waktu tempatan (1200 GMT).

Ecuador terletak di salah satu zon geologi paling aktif di dunia, dengan pertembungan antara plat Nazca dan plat Amerika Selatan berlaku di sepanjang pesisirnya.

Institut Geofizik berkata, ‘pertembungan antara plat Nazca dan Amerika Selatan yang bergerak pada kelajuan 5.6 sentimeter setahun merupakan proses yang mencetuskan gempa bumi besar di negara ini’.

Gegaran dilaporkan dirasai di 10 daripada 24 wilayah di seluruh Ecuador. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here