Home Sukan MEDIA VIETNAM MULA PANIK ANCAMAN HARIMAU MALAYA

MEDIA VIETNAM MULA PANIK ANCAMAN HARIMAU MALAYA

KUALA LUMPUR: Media Vietnam dilihat mula menekan butang panik menjelang pertemuan penting menentang Harimau Malaya pada aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, Mac ini.

Memetik laporan harian Metro, kedua dua pasukan dijadualkan bertemu di Stadium Thien Truong dalam aksi yang dijangka menjadi penentu kedudukan kumpulan.

Pertemuan terakhir pada aksi kedua kumpulan sebelum ini menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski membelasah Vietnam 4 0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan besar itu dilihat masih menghantui kem Vietnam yang kini berada di ranking ke 108 dunia.

Status sebenar skuad Malaysia yang bakal dibawa ke Vietnam masih belum dipastikan namun perkembangan itu sudah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati bola sepak negara berkenaan.

Perhatian kini terarah kepada keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang bakal menentukan status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pendengaran kes di Lausanne Switzerland sudah selesai pada 26 Februari lalu dengan keputusan penuh dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Penganalisis bola sepak Vietnam, Quang Huy yang dipetik laman Thetao247.com mengakui Vietnam bakal berdepan tugas sukar sekiranya pemain warisan Malaysia dibenarkan beraksi.

Menurutnya, kemampuan skuad Harimau Malaya ketika ini cukup merisaukan terutama jika dibarisi pemain terbaik.

“Sekiranya Malaysia kekal menggunakan khidmat tujuh pemain warisan berdepan Vietnam, sukar untuk pasukan kita menjaringkan lebih tiga gol.

“Walaupun Harimau Malaya tidak menurunkan pemain terbabit, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk menjaringkan banyak gol menentang mereka,” katanya dalam satu sesi wawancara.

Situasi itu menunjukkan Harimau Malaya kini semakin dihormati di rantau Asia Tenggara menjelang aksi penting kelayakan Piala Asia 2027 kelak. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here