Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mencatat kejayaan dalam Op Inter/Intra Agensi apabila merampas 21 ekor burung Murai Batu dalam serbuan di Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu di sini, semalam.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Supt. Ahmad Shafiki Hussin berkata operasi itu dijalankan kira-kira 11 pagi hasil maklumat awam.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor bersama Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia Kelantan telah melakukan pemeriksaan dan geledahan di sebuah premis kediaman.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 21 ekor burung Murai Batu atau nama saintifiknya (Copsychus Malabaricus) yang disimpan dalam 21 sangkar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, seorang lelaki Melayu tempatan berusia 36 tahun yang mengaku sebagai pemilik hidupan liar dilindungi itu telah ditahan selepas gagal mengemukakan lesen pemilikan sah.
“Kesalahan ini melibatkan spesies yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan) 2022.
“Kes ini dirujuk kepada Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ahmad Shafiki berkata anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM133,700.
Katanya, kejayaan itu merupakan kali kedua melibatkan kesalahan hidupan liar bagi tahun ini di bawah tanggungjawab PPM Wilayah Tiga.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai sebagai rakan strategik agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha memastikan perairan negara bebas daripada sebarang ancaman jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan moden.
Orang ramai boleh membuat laporan melalui talian 09-5137726 atau e-mel gerakanw3@gmail.com, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dilindungi sepenuhnya.
IMedikel TV






