ALMATY, KAZAKHSTAN: Kylian Mbappe menegaskan bahawa dia ‘boleh menjaringkan lebih banyak gol’ selepas mencetak hatrik dalam kemenangan besar 5-0 Real Madrid ke atas Kairat Almaty dalam aksi Liga Juara-Juara.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Real Madrid bermula agak perlahan tetapi Mbappe membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum menambah gol kedua selepas rehat.
Penyerang antarabangsa Perancis itu melengkapkan hatrik pada minit ke-73 sebelum Eduardo Camavinga dan Brahim Diaz turut mencatat nama sebagai penjaring – memastikan dua kemenangan daripada dua perlawanan setakat ini buat skuad bimbingan Xabi Alonso.
“Sebagai pemain seperti saya, jika ada lima peluang, saya patut jaringkan lima gol,” kata Mbappe.
“Saya menjaringkan tiga gol pada hari ini tetapi saya boleh jaringkan lebih lagi. Saya akan terus bekerja untuk lebih klinikal di depan gol.”
Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso turut memuji kemenangan selesa itu sambil menegaskan kepentingan untuk ‘memanfaatkan peluang.’
“Dalam format seperti ini, apabila anda ada peluang untuk menjaringkan gol, anda tidak boleh mensia-siakanya.
“Kami boleh mendapatkan lebih banyak gol tetapi misi untuk hari ini sudah berjaya.”
Kemenangan di Almaty itu hadir hanya beberapa hari selepas kekalahan memalukan 2-5 di tangan Atletico Madrid dalam aksi LaLiga, hujung minggu lalu.
“Kami tak boleh melupakan dan tidak patut melupakan apa yang berlaku hujung minggu lalu,” kata Mbappe.
“Ini pertandingan berbeza tetapi kami tetap perlu fikirkan kekalahan itu dan bekerja lebih keras supaya ia itu tak berulang lagi.” – AGENSI, BH Online – IMedikel TV






