KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal meraikan perjalanan seni selama tiga dekad dalam industri muzik menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza pada 10 Januari tahun depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Memetik laporan Berita Harian, konsert bersejarah itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun pembabitan Siti dalam dunia seni, bukan sahaja menandakan dedikasi, cinta dan keikhlasan beliau terhadap muzik, malah mengangkat warisan seni Malaysia ke persada antarabangsa.
Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan peminat dari seluruh negara dan rantau Asia.
Penganjur, SN Legacy Sdn Bhd, berkata penganjuran konsert di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecah rekod 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya sebagai perancangan teliti bagi memberikan pengalaman konsert yang selesa, epik dan penuh makna.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert, tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun.
“Saya mahu peminat yang selama ini menyokong dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini serta menyelami kembali karya yang menjadi sebahagian kenangan dan sejarah karier saya,” kata Siti menerusi kenyataan media.
Siti yang sudah merakamkan lebih 20 album berkata, penganjuran konsert ini berlangsung tepat pada waktunya apabila seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Momentum itu dijangka menarik peminat dari pelbagai negara ke Malaysia, sekali gus menyokong usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Pra-jualan eksklusif dibuka hari ini jam 12 tengah hari hingga Jumaat jam 12 tengah hari.
Jualan tiket kepada orang ramai pula bermula Jumaat jam 3 petang menerusi platform ticket2u.
Harga tiket ditawarkan antara RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk. – BH Online –
IMedikel TV






