MADRID: Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro, Kylian Mbappe menyamai rekod kelab milik Cristiano Ronaldo apabila meledak gol ke-59 dalam setahun bersama Real Madrid hasil sepakan penalti lewat permainan, sekali gus membantu kemenangan 2-0 ke atas Sevilla dalam LaLiga di Santiago Bernabeu, Sabtu lalu, hadiah manis sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27.
Mbappe sebelum itu mensia-siakan beberapa peluang, namun tidak mengulangi kesilapan apabila menyempurnakan penalti empat minit sebelum tamat perlawanan untuk menjaringkan gol ke-59 dalam 59 perlawanan di semua pertandingan sepanjang 2025, menyamai pencapaian Ronaldo pada 2013.
“Hari ini, dan kerana rekod itu, ia sangat luar biasa. Pada tahun pertama saya, dapat melakukan apa yang Cristiano pernah lakukan,” kata Mbappe kepada RMTV.
“Idola saya, pemain terbaik dalam sejarah Real Madrid dan rujukan bola sepak dunia. Ia satu penghormatan buat saya.”
Jude Bellingham membuka tirai jaringan pada babak pertama, manakala Sevilla beraksi dengan 10 pemain selepas Marcao dilayangkan kad kuning kedua 22 minit sebelum tamat perlawanan.
Namun, tuan rumah perlu berterima kasih kepada penjaga gol Thibaut Courtois yang beraksi cemerlang untuk mengekalkan kelebihan.
Real berada di tangga kedua liga dengan 42 mata, satu mata di belakang Barcelona yang akan berdepan Villarreal pada Ahad, manakala Sevilla menghuni kedudukan kesembilan dengan 20 mata. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






