WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendedahkan ribuan dokumen berkaitan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein, yang memaparkan beberapa nama tokoh berpengaruh di dunia termasuk bekas Presiden Bill Clinton, namun ketiadaan nama Presiden Donald Trump mencetuskan tanda tanya.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian pendedahan sebahagian dokumen itu pada Jumaat lalu dilakukan selepas tekanan daripada Kongres melalui undang-undang baharu, meskipun pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan cuba menghalang fail berkenaan daripada didedahkan kepada umum.
Ketiadaan rujukan mengenai Trump dianggap luar biasa memandangkan sebelum ini, nama beliau sering muncul dalam manifes penerbangan pesawat peribadi Epstein, termasuk dokumen yang pernah didedahkan pada Februari lalu.
Dalam pendedahan terbaru itu, sekurang-kurangnya 16 keping foto termasuk satu fail yang mengandungi gambar Trump dilaporkan telah dipadamkan daripada laman web Jabatan Kehakiman pada Sabtu, sekali gus mengundang tuntutan penjelasan daripada ahli politik Demokrat.
Selain Clinton, pendedahan terbaharu itu turut memaparkan foto beberapa selebriti terkenal seperti Mick Jagger, Michael Jackson, Diana Ross serta usahawan Richard Branson, selain Putera Andrew yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bersama beberapa wanita.
Walaupun foto-foto itu tidak disertakan dengan konteks atau tuduhan salah laku secara langsung, ia mendedahkan sisi gelap rangkaian sosial Epstein yang turut membabitkan aduan mengenai pornografi kanak-kanak seawal 1996.
Proses pendedahan ini bagaimanapun mengundang kemarahan mangsa Epstein, Marina Lacerda, yang menyifatkan tindakan kerajaan menutup sebahagian besar kandungan dokumen itu sebagai satu penghinaan kepada mangsa yang menuntut keadilan.
Rumah Putih mendakwa pendedahan ini adalah bukti ketelusan mereka, namun pemerhati politik melihat ia sebagai usaha mengalihkan tumpuan kepada Clinton selepas tular imej menunjukkan bekas Presiden itu bersama individu yang didakwa mangsa Epstein.
Pendedahan itu berlaku susulan desakan oleh Kongres terhadap pentadbiran itu selepas pegawai Trump mengisytiharkan awal tahun ini bahawa tiada lagi fail Epstein yang akan didedahkan kepada umum.
Undang-undang pendedahan itu mewajibkan Jabatan Kehakiman untuk menyerahkan maklumat mengenai pengendalian siasatan Epstein, termasuk laporan dalaman dan e-mel namun, tiada satu pun daripada bahan tersebut kelihatan berada dalam kumpulan dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan pada Jumaat lalu.
Undang-undang itu juga membenarkan Jabatan Kehakiman untuk menyembunyikan maklumat peribadi mengenai mangsa Epstein serta bahan yang akan menjejaskan siasatan aktif.
Setakat ini, pihak Jabatan Kehakiman mengakui masih terdapat ratusan ribu halaman dokumen tambahan yang sedang disemak untuk pendedahan seterusnya, manakala status fail yang hilang atau dipadamkan masih belum dijelaskan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






