HAMBURG: Kylian Mbappe memacu Perancis ke suku akhir Euro 2024 menentang Portugal pada Sabtu ini dengan dirinya masih belum menemui prestasi terbaiknya.
Mbappe tiba di Jerman dengan dibayangi spekulasi berhubung masa depan di kelab sertainya selain mengalami patah hidung pada aksi pembuka tirai Perancis yang menimbulkan kebimbangan pasukannya.
Pemain berusia 25 tahun itu sekali lagi bakal memakai topeng pelindung muka yang menjadi keperluan buatnya selepas kecederaan dialami ketika pasukan meraih kemenangan 1-0 ke atas Austria, 17 Jun lalu.
Ketika pasukan meraih kemenangan ke atas Belgium pada aksi 16 terbaik Selasa lalu, Mbappe mengakui dirinya tidak selesa memakai topeng berkenaan dan menyifatkan dirinya seperti menonton kejohanan menerusi cermin mata realiti maya dan bukannya sebagai pemain aktif.
Apapun, dia masih kapten bagi Perancis yang mara ke suku akhir meskipun hanya meraih tiga gol dalam empat perlawanan, salah satunya menerusi jaringan penalti Mbappe ketika bertemu Poland dan bakinya menerusi jaringan sendiri pihak lawan.
Mbappe menjadi tonggak dalam dua kempen Piala Dunia tetapi dirinya masih belum memperoleh kejayaan sama di pentas Euro.
Dia menjadi tonggak Perancis untuk meraih gelaran juara dunia di Russia 2018 dan pada edisi di pentas final Qatar 2022, Mbappe meledak hatrik sebelum terpaksa akur tewas di tangan juara, Argentina.
Pemain yang baharu menyertai Real Madrid itu mempunyai 12 gol di Piala Dunia tetapi jaringan penaltinya ketika menentang Poland adalah satu-satunya gol dalam tujuh penampilan di Euro.
Tiga tahun lalu, dia gagal menemui penyudah selain tidak berupaya melunaskan sepakan penentuan penalti penting ketika tewas di tangan Switzerland dalam perlawanan 16 terbaik.
“Kempen Euro saya tidak bermula seperti dimahukan tetapi saya di sini untuk membantu pasukan dan saya sangat mahu meraih kejayaan bersama pasukan ini,” kata Mbappe.
“Saingan Euro adalah satu-satunya kejohanan yang belum saya menangi bersama pasukan kebangsaan dan saya sangat menginginkannya.” – AFP, BH Online –
IMedikel TV






