LOS ANGELES: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro Floyd Mayweather mengumumkan bakal kembali ke gelanggang profesional selepas pertarungan pertunjukkan menentang Mike Tyson pada musim bunga ini.
Bekas juara dunia pelbagai kategori itu bersara pada 2017 dengan rekod sempurna 50 kemenangan tanpa kalah, namun masih terbabit dalam beberapa aksi perlawanan pertunjukkan selepas itu.
“Saya masih ada kemampuan untuk mencipta lebih banyak rekod dalam sukan tinju.
“Daripada acara menentang Mike Tyson sehingga pertarungan profesional seterusnya, tiada siapa mampu menjana kutipan tiket lebih besar, siaran global lebih meluas dan pendapatan lebih tinggi berbanding acara saya,” kata Mayweather, 48.
Mayweather menandatangani perjanjian eksklusif bersama penganjur CSI Sports/Fight Sports yang akan bermula selepas pertarungan menentang Tyson, tarikh yang masih belum diumumkan.
Pertarungan profesional pertamanya dijangka berlangsung pada musim panas ini menentang lawan yang akan diumumkan kemudian.
Butiran lanjut dijangka didedahkan dalam beberapa minggu akan datang.
Pertarungan profesional terakhir Mayweather adalah pada 2017 ketika menewaskan bintang UFC, Conor McGregor.
Sejak itu, dia terus muncul dalam aksi pameran termasuk kemenangan ke atas John Gotti III di Mexico pada Ogos 2024 serta beberapa pertarungan menentang selebriti televisyen realiti dan peninju YouTube. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






