KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pelakon, Eyka Farhana berkongsi detik penuh emosi apabila merasai pergerakan aktif bayi sulungnya dalam kandungan, yang disifatkan sebagai pengalaman paling indah dalam hidupnya.
Menerusi hantaran di Threads, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, meluahkan rasa syukur dan teruja apabila tendangan bayinya semakin kuat dari hari ke hari, terutama ketika dia berehat pada waktu malam.
“Masya-Allah Tabarakallah. Tendangan bayi semakin kuat hari demi hari.
“Walaupun ketika sedang tidur, masih lagi aktif,” tulisnya.
Menurut Eyka, pengalaman pertama merasai gerakan si kecil dalam kandungan menghadirkan kebahagiaan dan kehangatan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk ungkapkan perasaan ini. Ini adalah perasaan paling indah dalam hidup saya.
“Ya Allah, terima kasih atas perasaan ini. Alhamdulillah atas kurniaan yang tidak terhingga ini. Mama sudah pun sayangkan kamu lebih daripada kata-kata yang boleh diungkapkan,” luahnya.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati pengikutnya yang turut menitipkan doa agar urusan kehamilan dipermudahkan.
Sebelum ini, Eyka mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod, Eyka sah bergelar isteri kepada Akhyar Rashid pada 2 Mei tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di sebuah premis acara. – BH Online –
IMedikel TV






