Ketika ramai menyangka dia menghilang, penyanyi, Najwa Mahiaddin sebenarnya sedang menyusun semula nadi muziknya.
Memetik laporan Harian Metro, selepas empat tahun berehat, kini Najwa sedia kembali dalam industri muzik dengan kelunakan vokalnya.
Merdu, lunak dan sentiasa merinding.
Itulah yang diakui peminat Najwa sebaik vokalnya kembali bergema di halwa telinga.
Hantaran video di TikTok, baru-baru ini menjadi asbab kepada detik kemunculan semula penyanyi ini.
“Apabila saya muat naik hantaran di TikTok, tiba-tiba macam ramai yang cari saya. ‘Oh, Najwa kat sini rupanya’.
“Dari situ saya macam terfikir, sebenarnya ada lagi yang peminat yang masih sudi nak mendengar lagu saya. Nak tengok ‘update’ saya (perkembangan terbaru) dan tengok saya ‘perform’ (buat persembahan) lagi.
Magis penyanyi lagu Got To Go ini tidak pernah pudar. Dalam diam, Najwa terus berkarya menerusi beberapa lagu seperti Togok, Alunan Lara dan Tetap Di Sini.
Kini, Najwa juga dalam perancangan untuk menghidupkan semula album sulungnya di platform penstriman digital.
“Mungkin saya akan rakam semula lagu-lagu dari album itu atau buat gubahan muzik baharu. Mungkin saya masukkan juga lagu-lagu baharu. Ada satu lagu yang saya pernah nyanyikan, tapi tak pernah dipasarkan,” katanya.
Dalam pada itu, selepas lebih sedekad mengemudi karier seninya, graduan Berklee College Of Music ini percaya apa yang paling bermakna bukanlah kemasyhuran, tetapi penghargaan jujur peminat yang setia bersama muziknya.
“Sudah cukup bagi saya kalau ada yang masih ingat dan masih boleh terima saya. Contohnya, selepas satu persembahan baru-baru ini, ada yang datang jumpa kata mereka pernah dengar lagu-lagu saya. Saya tengok mereka dah ada anak. Alhamdulillah, saya dah cukup bahagia dengan itu,” katanya yang bakal memasarkan lagu baharu, Ogos ini.-HMetro Online-‘
IMEDIKEL TV






