LONDON: Arsenal mencetuskan kejutan dalam jendela perpindahan kali ini apabila ‘menyambar’ pemain sayap Chelsea, Noni Madueke, dengan nilai sekitar £50 juta (RM305 juta) sekaligus menjadi perpindahan pemain ketiga dari Stamford Bridge ke Emirates dalam tempoh dua musim.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, langkah itu turut mencetuskan kemarahan segelintir penyokong The Gunners yang masih belum ‘move on’ dengan perpindahan Kai Havertz sebelum ini.
Namun, bagi pengurus Mikel Arteta, keputusan membawa masuk Madueke dibuat berasaskan data prestasi dan potensi jangka panjang, bukan sentimen.
Pemain berusia 22 tahun itu mungkin belum menyerlah sepenuhnya bersama Chelsea musim lalu, namun statistik menunjukkan impak Madueke dalam aspek 1 lawan 1, laju pecutan, dan ancaman di zon akhir adalah antara yang tertinggi dalam kalangan pemain bawah 23 tahun Liga Perdana Inggeris.
Menurut sumber dalaman kelab, Arteta mahu menjadikan Madueke sebagai aset jangka panjang untuk sistem sayap kanan, memandangkan Gabriel Jesus kerap dibelenggu kecederaan dan Bukayo Saka memerlukan saingan sihat bagi mengurangkan beban musim padat.
“Dia ada kelajuan, keberanian dan teknik yang jarang kita lihat. Apa yang dia perlukan hanyalah kestabilan dan sokongan sistematik sekali gus kami yakin Arsenal boleh sediakan itu,” kata seorang pegawai kanan kelab.
Chelsea pula dikatakan bersedia melepaskan pemain itu bagi mengimbangi buku kewangan, meskipun Madueke adalah antara bakat muda yang diserap dari PSV Eindhoven pada 2023.
Madueke dijangka membuat kemunculan sulung bersama Arsenal dalam aksi pra musim menentang Bayern Munich minggu depan. Kini terpulang kepada Arteta untuk membuktikan bahawa ‘pencarian sayap kanan sempurna’ yang berharga £50 juta ini bakal membuahkan hasil.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






