BEIRUT, BAITULMAQDIS: Israel dan Syria bersetuju melaksanakan gencatan senjata, kata duta Amerika Syarikat (AS) ke Turkiye semalam, selepas pertumpahan darah beberapa hari di kawasan majoriti Druze yang meragut lebih 300 nyawa.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pada Rabu, Israel melancarkan serangan udara di Damsyik yang mengena pasukan keselamatan di selatan, menuntut mereka berundur dan Israel dikatakan menyasar untuk melindungi masyarakat Druze Syria – komuniti minoriti tetapi berpengaruh serta mempunyai ahli di Lubnan dan Israel.
“Kami menyeru kepada masyarakat Druze, Badwi dan Sunni untuk meletakkan senjata dan bersama-sama dengan minoriti lain membina identiti Syria baharu yang bersatu,” kata Tom Barrack, duta AS ke Turkiye dalam satu hantaran di X.
Barrack berkata, Israel dan Syria bersetuju terhadap gencatan senjata itu dengan sokongan Turki, Jordan dan negara jiran lain.
Wilayah Sweida di Syria dilanda keganasan selama hampir seminggu akibat pertempuran antara pejuang Badwi dan puak Druze.
Awal Jumaat, seorang pegawai Israel berkata, Israel bersetuju untuk membenarkan pasukan Syria mendapat akses terhad ke kawasan Sweida di selatan Syria selama dua hari.
Pejabat Presiden Syria menyatakan pada Jumaat bahawa pihak berkuasa akan menghantar pasukan ke selatan, khusus untuk menamatkan pertempuran selari dengan langkah politik dan keselamatan bagi memulihkan kestabilan serta mencegah keganasan berulang.
Pada awal minggu, Damsyik menghantar tentera kerajaan untuk meredakan pertempuran, namun mereka dituduh melakukan pelanggaran meluas terhadap masyarakat Druze dan diserang oleh Israel sebelum berundur di bawah perjanjian gencatan senjata pada Rabu.
Pertempuran masih berterusan di utara dan barat wilayah Sweida, menurut penduduk dan Ryan Marouf, ketua portal berita tempatan Sweida24.
Penduduk berkata, mereka kekurangan makanan, air dan elektrik terputus selama beberapa hari.
“Selama empat hari, tiada elektrik, tiada minyak, tiada makanan, tiada minuman, langsung tiada apa-apa,” kata penduduk dikenali Mudar, 24.- Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






