Home Sukan MARTINEZ ANGGAP RONALDO GOAT SEBENAR

MARTINEZ ANGGAP RONALDO GOAT SEBENAR

131
0

LONDON: Cristiano Ronaldo akan dikenang sebagai pemain terhebat sepanjang zaman (GOAT) walaupun dia tidak memenangi Piala Dunia, kata pengurus Portugal, Roberto Martinez.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Ronaldo bersama pencabar utamanya Lionel Messi – dijangka beraksi bagi edisi keenam pada Piala Dunia tahun ini, sekali gus mencipta rekod baharu, namun dia masih belum pernah meraih kejayaan pada kejohanan itu.

Walaupun sudah membuat 22 penampilan dalam Piala Dunia 2006, 2010, 2014, 2018 dan 2022 – jumlah kelima terbanyak dalam sejarah kejohanan – Ronaldo belum pernah menjaringkan gol pada peringkat kalah mati.

Ronaldo adalah satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia berbeza, namun semua lapan golnya hadir pada peringkat kumpulan (satu pada 2006, satu pada 2010, satu pada 2014, empat pada 2018 dan satu pada 2022).

Selain itu, tiga daripada gol Ronaldo pada Piala Dunia hadir menerusi sepakan penalti.

Sebaliknya, Messi memegang rekod pembabitan gol terbanyak dalam sejarah Piala Dunia (21 – 13 gol, lapan umpanan gol) dan hanya memerlukan tiga lagi gol untuk menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Miroslav Klose selepas menjaringkan dua gol ketika Argentina menewaskan Perancis pada final 2022.

Namun apabila ditanya sama ada Ronaldo perlu mengikut jejak Messi dengan menjulang trofi bagi diingati sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, Martinez berkata dalam Portugal Football Summit Podcast: “Dia akan menjadi pemain terhebat sepanjang zaman, sama ada dia memenangi Piala Dunia atau tidak.

“Saya tidak pernah bekerja dengan pemain yang setiap pagi mempunyai fokus seperti ini untuk menggunakan harinya bagi meningkatkan diri.

“Jika kami boleh memiliki Cristiano selama-lamanya, ia adalah cara paling mudah membantu pemain muda apabila mereka menyertai pasukan kebangsaan. Keinginannya adalah menggunakan setiap hari untuk menjadi lebih baik.”

Ronaldo sudah menjaringkan 94 gol dalam 97 penampilan Liga Pro Saudi sejak menyertai Al-Nassr pada hujung 2022, dengan 20 daripadanya hadir dalam 20 perlawanan musim ini.

Ronaldo pernah digugurkan secara mengejut oleh pengurus sebelum Martinez, Fernando Santos menjelang aksi pusingan 16 terakhir menentang Switzerland pada Piala Dunia 2022, dengan penggantinya Goncalo Ramos meledak hatrik ketika Portugal menang besar 6-1 sebelum mereka tersingkir pada pusingan berikutnya.

Namun Martinez percaya pemain berusia 41 tahun itu yang memegang rekod 143 gol antarabangsa – terbanyak oleh mana-mana pemain lelaki dalam sejarah – masih memainkan peranan penting di dalam dan luar padang.

“Saya fikir kita perlu menerima setiap orang di dunia mengenali Cristiano Ronaldo dan mempunyai pendapat mengenainya,” kata Martinez.

“Tetapi Cristiano Ronaldo yang menyertai pasukan kebangsaan 21 tahun lalu tidak sama seperti sekarang. Kini dia lebih kepada pemain posisi, seorang penyerang.

“Dia adalah pemain yang bagi kami berperanan sebagai penyudah. Dia penjaring terbanyak sepanjang zaman. Jadi memiliki pemain yang kini mempunyai 25 gol dalam 30 perlawanan terakhir bersama pasukan kebangsaan adalah satu kelebihan.”

Portugal akan menentang Uzbekistan dan Colombia dalam Kumpulan K pada Piala Dunia selain pemenang laluan play-off membabitkan DR Congo, Jamaica dan New Caledonia. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here