LOMBOK: Jorge Martin mahu Aprilia terus bekerja keras ketika juara MotoGP 2024 itu menuju ke Mandalika dengan kelebihan dua mata mengatasi Marc Marquez.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Martin berjaya mengehadkan kerugian mata di Motegi hujung minggu lalu, sebuah litar yang biasanya menyaksikan Marquez, begitu juga Ducati, tampil pantas.
Selepas mencatat rekod baharu litar dalam sesi kelayakan untuk meraih petak utama, Martin terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam perlumbaan pecut, sebelum kedudukannya kemudian diturunkan ke tempat ketiga selepas pelumba Sepanyol itu dikenakan penalti kerana terbabas ke kawasan hijau pada pusingan terakhir.
Martin yang menamatkan perlumbaan di belakang Marquez dan Diogo Moreira, kemudian menduduki tempat kedua dalam perlumbaan utama di belakang Marquez.
Walaupun kehilangan mata kepada pencabar kejuaraannya dalam kedua-dua perlumbaan, ada berita positif buat Martin apabila RS-GP26 kompetitif di litar yang sebelum ini menjadi antara kelemahan Aprilia.
Sebaliknya, Mandalika adalah litar yang pernah memberikan keputusan positif buat Aprilia dan Martin, sekali gus memberi peluang kepada pelumba yang bakal menyertai Yamaha itu untuk kembali melebarkan kelebihan dalam kejuaraan.
“Kami meninggalkan Jepun dengan sangat berpuas hati, dari sebuah litar yang sebelum ini bukan antara litar terbaik buat Aprilia.
“Pasukan melakukan tugas luar biasa dan dua podium itu menjadi bukti lebih besar terhadap komitmen semua pihak.
“Sekarang kami menuju ke Indonesia, ke sebuah litar yang saya sentiasa rasa selesa. Bagaimanapun, kejuaraan masih sangat sengit, jadi kami perlu meneruskan rentak ini, bekerja bersama dan melakukan peningkatan dari hari ke hari,” kata Martin menjelang perlumbaan hujung minggu ini.
Bagi rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi, menewaskan Martin dan Marquez secara konsisten adalah satu-satunya cara buat pelumba Aprilia itu untuk terus berada dalam persaingan kejuaraan menjelang perlumbaan terakhir di Valencia.
Dengan baki enam pusingan, Bezzecchi kini ketinggalan 49 mata daripada pendahulu kejuaraan, namun Mandalika juga boleh menjadi peluang terbaik buat pelumba Itali itu untuk merapatkan jurang. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






