WOLVERHAMPTON: Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, menyifatkan tindakan Liam Delap yang dilayangkan kad merah sebagai ‘bodoh’ dan ‘memalukan’ selepas pemain itu dibuang padang hanya tujuh minit selepas dimasukkan ketika kemenangan dramatik 4-3 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam saingan Piala Liga, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Delap, yang baru pulih daripada kecederaan hamstring, menerima dua kad kuning berturut-turut, pertama kerana menolak Yerson Mosquera dan kedua selepas terjahan bahaya ke atas Emmanuel Agbadou.
Kad merah itu menjadi yang keenam buat Chelsea dalam sembilan perlawanan musim ini, sekali gus membuatkan Maresca berang dengan sikap pemain mudanya itu.
“Hari ini kami dapat satu kad merah yang sangat bodoh, langsung tidak perlu. Ia satu kesilapan yang boleh dielak,” kata Maresca dengan nada kecewa.
“Selepas kad kuning pertama, saya dah beritahu dia berkali-kali supaya bertenang. Tapi dia pemain yang bila masuk padang, seolah-olah bermain untuk dirinya sendiri. Sukar untuk dia sedar dan dengar arahan di sekeliling.”
Chelsea yang mendahului 3-0 hasil jaringan Andrey Santos, Tyrique George dan Estevao, hampir dikejutkan kebangkitan tuan rumah apabila Tolu Arokodare dan David Moller Wolfe merapatkan kedudukan.
Walaupun Delap dibuang padang, Jamie Gittens menjaringkan gol keempat buat The Blues sebelum Wolfe menambah satu lagi di masa kecederaan, namun Chelsea tetap berjaya menempah tiket ke suku akhir menentang Cardiff City. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






