Home Hiburan AMIRA SERASI BERSAMA FATIMA – FATTAH

AMIRA SERASI BERSAMA FATIMA – FATTAH

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan disatukan sebagai suami isteri, pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Amira Othman, mengakui kehidupan mereka kini lebih teratur dan tenang, meskipun masih dalam fasa menyesuaikan diri.

Memetik laporan Berita Harian, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, banyak perkara masih perlu dipelajari bersama sebagai pasangan baharu, termasuk menyeimbangkan peranan masing-masing dalam kehidupan berumah tangga.

“Kami baru berkahwin, jadi masih belajar menyesuaikan diri. Amira juga dalam fasa menyesuaikan diri dengan anak saya, Fatima.

“Tapi apa yang saya nampak, mereka berdua sangat gembira bersama. Kami lalui hari-hari yang tenang dan penuh bahagia,” katanya ditemui pada majlis minum petang The Garden of Love Fattmira anjuran Usanita TV (UTV) di Ukay Hills, Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.

Fattah turut berkongsi bahawa Amira memiliki naluri keibuan yang kuat serta mudah mesra dengan kanak-kanak, menjadikan peralihan hubungan itu berjalan lancar.

“Amira memang sukakan budak-budak. Sebelum berkahwin lagi saya nampak dia sangat rapat dengan anak buahnya.

“Bila dia bersama Fatima, keserasian itu datang secara semula jadi. Fatima pun semakin selesa dengan kehadiran Amira,” katanya.

Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, menganggap perkenalan dengan Fatima sebagai satu anugerah yang menyenangkan.

Katanya, melihat cara Fattah melayani anak perempuannya membuatkan dia lebih menghargai peranan suami dan bapa dalam keluarga.

“Fatima sangat petah dan bijak. Dia manja dan sangat rapat dengan ayahnya. Melihat hubungan itu, saya semakin sedar betapa pentingnya sosok ayah dalam kehidupan seorang anak perempuan.

“Fattah ialah ayah yang sangat penyayang. Bila saya kini sebahagian daripada hidup mereka, saya mahu jadi orang yang membawa kebaikan juga,” katanya.

Mengulas kemungkinan perlu berenggang kerana tuntutan kerjaya seni Fattah, Amira berkata, dia sudah bersedia dan memahami tanggungjawab suaminya sebagai pelakon yang memerlukan komitmen tinggi.

“Saya sedar bila memilih untuk berkahwin dengan seorang pelakon, saya perlu faham akan masa dan tanggungjawabnya.

“Fattah sudah lama dalam industri, jadi saya tak pernah halang kerjayanya. Bila kedua-dua pasangan tahu peranan masing-masing, takkan timbul masalah,” katanya.

Amira turut memuji sikap sabar dan tenang suaminya yang disifatkan sebagai penyejuk rumah tangga.

“Fattah ini jenis yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan dan terus berbincang supaya tak berlarutan.

“Dia tenang orangnya. Saya tak mampu balas semua kebaikan itu, cuma saya yakin Allah Maha Mengetahui dan Maha Baik. Semoga Allah terus berikan yang terbaik buat suami saya,” katanya dalam nada sebak.

Untuk rekod, pasangan ini dinikahkan pada 14 September lalu oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, yang mewakili bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.

Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 2017 sebelum bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here