Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal membuat pengambilan warden asrama sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis sebagai projek rintis dalam membentuk disiplin pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu bagi memastikan matlamat MARA untuk mencapai sifar buli di MRSM dapat direalisasikan.
“Saya telah bangkitkan cadangan ini dalam majlis MARA dan telah dipersetujui sebulat suara.
“Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata, persatuan veteran tentera dan bekas polis juga membantu dalam mengenal pasti kriteria yang tepat bagi pemilihan warden asrama berkenaan.
Katanya, bahagian pendidikan menengah MARA turut menyediakan garis panduan berkenaan terma rujukan dan tanggungjawab serta bidang tugas warden yang akan bertugas.
“Kita akan berusaha untuk memperkasakan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar.
“Ia seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.
IMedikel TV






