Manchester: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menjangkakan musim sukar dengan kelab bersaing di Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa namun secara keseluruhanlega kerana kembali melakar kemenangan menjelang pertemuan dengan Brighton & Hove Albion esok.
United meraih kemenangan pertama liga dalam lima perlawanan selepas menewaskan kelab tercorot, Southampton 3-1 pada Khamis hasil jaringan hatrik Amad Diallo, dan kini berdepan tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari.
“Saya rasa ia akan menjadi sukar hingga ke akhir musim. Ia akan menjadi seperti ‘rollercoaster’.
“Sukar untuk melakukan persiapan apabila kita tewas. Apabila menang, semua boleh diuruskan, jangkaan, perasaan pemain.
“Jadi kami akan melakukan persiapan untuk perlawanan ini dengan cara sama. Saya hanya fokus kepada perlawanan seterusnya,” kata Amorim.
Pengendali dari Portugal itu yang mengambil alih United pada November, berkata pasukan di tangga ke-12 liga terbabit masih belum menyelesaikan masalah di bahagian serangan – selepas gagal menjaringkan gol dalam tiga daripada lima perlawanan terakhir liga.
“Seperti yang anda lihat, kami bergelut dalam mencipta peluang di bahagian depan. Ia sesuatu yang perlu diubah.
“Untuk mengubahnya, kami perlu berlatih. Jadi untuk mempunyai masa melakukan perubahan, kami juga perlu memenangi perlawanan dan kami sedang berusaha melakukannya,” katanya. – REUTERS, Hmetro Online –
IMedikel TV






