Home Sukan MAN CITY SEDIA GANTI KOS TIKET PENYOKONG KE BODO

MAN CITY SEDIA GANTI KOS TIKET PENYOKONG KE BODO

MANCHESTER: Pemain Manchester City bersetuju memulangkan kos tiket semua penyokong kelab itu yang menghadiri kekalahan memalukan di tangan Bodo/Glimt dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Erling Haaland menggelar persembahan pasukannya sebagai “memalukan” selepas pasukan Norway itu mengejutkan City 3-1 di Arctic Circle, sementara Rodri dilayangkan kad merah di awa babak kedua.

Kekalahan ini hadir empat hari selepas Manchester United menewaskan City dalam derbi Manchester, dengan City hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir di semua kejohanan.

Kebanyakan penyokong City terpaksa terbang ke Oslo sebelum menyambung perjalanan ke Bodo, berdepan suhu negatif di Aspmyra Stadion, ketika pasukan Pep Guardiola gagal memberikan sebarang ancaman kepada tuan rumah.

Skuad City mengumumkan komitmen mereka untuk memulangkan kos tiket, berjumlah 9,357 pound (RM44,250), melalui kenyataan bersama pemimpin pasukan Bernardo Silva, Ruben Dias, Rodri dan Haaland.

“Penyokong kami adalah segalanya bagi kami. Kami sedar pengorbanan yang dilakukan penyokong apabila mereka mengembara sejauh ini untuk menyokong pasukan, baik di rumah atau jauh, dan kami tidak akan pernah menganggapnya ringan.

“Mengurus kos tiket untuk penyokong yang hadir di Bodo adalah sekurang-kurangnya yang boleh kami lakukan.

“Kami bersedia untuk bangkit Sabtu ini menentang Wolves dan Rabu depan menentang Galatasaray di Etihad di hadapan penyokong kami yang luar biasa,” kata kenyataan itu.

Haaland turut memuat naik kenyataan itu di media sosial, berjanji akan cuba memperbaiki prestasi pasukan.

“Kami tidak boleh membiarkan sokongan anda tidak dibalas. Sekarang kita kena ubah keadaan ini bersama-sama,” kata Haaland.

Seramai 374 penyokong hadir di Aspmyra Stadion untuk menyaksikan salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Kevin Parker, mewakili kelab penyokong rasmi, berkata: “Penyokong City sanggup mengembara ke hujung dunia untuk menyokong pasukan. Bodo bukan destinasi mudah dan suhu yang sejuk menambah cabaran.

“Perhubungan penyokong dengan pemain pada hari perlawanan memang luar biasa, dan tindakan ini mengukuhkan lagi hubungan itu – ia amat bermakna bagi kami.

“Kami faham pemain kecewa dengan kekalahan ini, tetapi perlawanan seterusnya di rumah pada Sabtu memberi peluang untuk kembali meraih kemenangan, dan penyokong akan hadir penuh semangat.” – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here